Wednesday, April 13, 2011

~yang tak terungkapkan dibibir...

Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis seorang diri

Puas ku cuba untuk menidakkan kebenaran kata-kata ini. Tapi makin kucuba mengatakan tidak, semakin banyak pula pemikiran-pemikiran ideologi yang begitu mengiakan pernyataan itu.

Aku percaya, sahabat itu adalah insan yang boleh ku percaya, akan sentiasa disamping disaat kita memerlukan, menjadi teman pengubat di kala kedukaan, menjadi penenang di kala jiwa kekalutan.Dari dulu lagi, semua ini kutanam di dalam jiwaku agar ia subur dan aku sangat percaya ia adalah benar, bukan hanya kata-kata. Tak kiralah disaat kita gembira atau tidak semuanya dikongsi bersama-sama.

"Teman sejati", itulah istilah yang paling ringkas dan mudah difahami dapat ku jelaskan disini.

Aku juga selalu ingat bahawa seorang sahabat itu adalah bagai cermin diri kita, sahabatlah yang akan menegur dan menasihati kita disaat kita melakukan kesalahan, alpa atau terkhilaf dan begitulah juga sebaliknya.

Tapi ternyata kepercayaan yang selama ini ku pegang makin hari makin suram, kian lama kian pudar, tambah goyah. Pangkal yang begitu kukuh dahulu kini semakin rapuh. Hari-hariku lalui bagai pokok yang dimakan anai-anai, semakin hari semakin hilang kekuatannya, dihakis sedikit demi sedikit, hinggakan aku rasa makna serta peranan seorang 'sahabat' yang aku percaya itu hanyalah dongengan dan sekadar imaginasiku yang terlalu mengharapkan sesuatu yang indah dan bahagia.

Benar kata orang, kalau kita terlalu berharap akan sesuatu, di akhirnya kita akan kecewa kerna apa yang kita harapkan tidak mencapai tahap yang kita mahukan. Cukuplah sekadar berharap apa yang berlaku, itulah sebaiknya untuk kita. Sesungguhnya Dia lebih Mengetahui.

Sedih bila ku mula memikirkan realiti ini, namun biar pahit harus ku telan jua. Apa dayaku?

Terlalu lemah diri ini untuk membetulkan segala-galanya. Aku hanya mampu melihat, tidak mampu menegur, sekadar melahirkan rasa benci akan keadaan ini di dalam hati. Itulah selemah-lemah iman, malunya aku dengan diri aku. Apa aku nak jawab di yaumul akhir nanti? Apa yang telah ku usahakan untuk menegakkan syiar Islam?

"Aku tak berdaya Ya Allah, Kau berikanlah aku kekuatan untuk menempuhi segala ini Ya Rahman Ya Rahim".

Tapi, berputus asa bukan lah apa yang dianjurkan dalam Islam, aku akan terus berusaha. Aku akan kembalikan kepercayaan ku dahulu. Akanku buktikan ia adalah sememangnya benar dan bukan hanya imaginasiku semata-mata.