Tuesday, June 28, 2011

~tekanan yang menekan jiwa hingga jadi tertekan

Assalamualaikum.
serta salam sejahtera buat semua pembaca yang saya kasihi dan sayangi sekalian.

   Daripada Miqdam bin Ma'di Kariba r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya."

(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. menganjurkan kepada kita supaya memberitahu kepada saudara seislam kita yang kita kasih dan sayang. Ini akan menyemarakkan lagi rasa kasih dan sayang sesama saudara kita, teman2 kita, rakan2 kita dan sahabat kita. Ini juga akan membuatkan teman kita lebih senang dengan diri kita.

   Kadang-kala teman kita tidak tahu bahawa kita mengambil berat tentang diri mereka. Kadang-kala juga kita sendiri tidak tahu bahawa teman kita juga sebenarnya ambil berat tentang diri kita. Apabila kita lafazkan atau luahkan mungkin pagar-pagar ketidak-tahuan itu dapat dipecahkan.

   Namun, bila kita menyatakan rasa kasih tersebut hendaklah kita jaga diri kita dari perkara yang terlarang dalam Islam. Jangan kita ambil hadith ini sebagai alasan kita untuk meluahkan rasa kasih pada teman istimewa kita. Senang cakap, jangan kita gunakan ayat2 al-Qur'an atau hadith sebagai alat untuk meng'justify'kan hubungan "Cinta" itu. 

Credit to Abu Raiyan

Jadi.ingin saya ungkapkan sekali lagi saya sayang kamu sebagai saudara seagama. Saya sayang kamu sebab kamu sujud, kamu ruku' serta kamu taat pada perintah Allah serta meninggalkan laranganNya.


Sedikit tazkirah untuk renungan kita bersama.


Berbalik kepada tajuk di atas. Tekanan yang menekan jiwa hingga jadi tertekan. Rasanya semua insan yang biasa seperti kita di dunia ini pernah rasa tertekan. Tidak kira apa sebabnya namun perasaan ini kebanyakan daripada kita selalu atau pernah merasainya, tidak terkecuali diri yang menulis ini.

Lagi-lagi buat masa sekarang ni. Peperiksaan akhir untuk Fasa IIIA MBBS UM bakal menjelang tidak lama lagi. Kira-kira 41 hari lagi. Tekanan serta bahangnya kian terasa. Mungkin ini bukan sahaja dialami oleh penulis sendiri, rata-rata teman-teman serta sahabat-sahabat seperjuangan yang lain turut menyuarakan luahan rasa yang sama. Berbekalkan masa yang sedikit dan semakin lama semakin berkurang serta bilangan penyakit-penyakit yang harus dikuasai dan difahami serta diingati, sesiapa pun boleh terkandas dan kadang-kadang hilang keyakinan dan rasa enggan meneruskan apa yang sedang dilakukan.

Sukar untuk digambarkan rasa ini dalam penulisan ini. Tetapi berputus asa bukan lah jalan nya. Walaupun adakala tercuit rasa hati untuk berputus asa itu tetap ada. Kita bukan manusia sempurna. Tambah-tambah lagi diri ini yang penuh kekhilafan serta dosa, iman yang tidak cukup kuat, sememangnya menjadi sasaran mudah untuk ditewaskan oleh hasutan syaitan dan godaan hawa nafsu sendiri.

Mungkin mudah untuk berbicara serta menasihati orang agar jangan berputus asa, kuatkan azam dan tabahkan hati. Seperti yang penulis cuba lakukan sekarang ini. Tetapi untuk mempraktikkan sendiri, ternyata sukar dan perlukan kekuatan diri serta sokongan daripada insan sekeliling.

"Banyak lagi tak cover ni"
"stress la aku macam ni, makin aku baca makin banyak aku lupa, penat la baca macam ni..exam dah makin dekat ni..adoi"
"makin dekat exam ni, makin banyak pulak aku tidur, bacanya sedikit je..tertekan la.."
"tertekan la, tak cukup masa"
Ayat-ayat yang selalu penulis dengar, malah lahir sendiri dari bibir yang berbicara ini. Pelbagai rasa tidak puas hati dikeluarkan, rasa diri tidak mampu melakukannya, rasa terlalu berat cubaan dan dugaan yang Allah bagi ini.

Kalau diikutkan rasa hati, ingin sahaja  diri ini mengurung diri dalam bilik dan makan sekeping-sekeping helaian kertas dan buku-buku yang ada. Ingin rasanya tidak mahu pergi kelas, sebab masa dah tak mengizinkan, dan kena baca banyak lagi. Malu betul dengan diri ini, baru diuji dengan ujian seperti ini sudah goyah. Zaman Rasulullah s.a.w. serta para sahabat Baginda, mereka diuji dengan ujian yang jauh lebih berat namun mereka mampu tempuhi. Tidak perlu kita lihat contoh yang begitu jauh, ada contoh yang berlaku pada zaman ini, anak-anak di Palestin, pejuang-pejuang Islam di sana bertempur darah untuk tegakkan syiar Islam. KITA? Hanya diuji dengan peperiksaan ini, dah cakap tidak mampu. Insaflah diri.

Apa-apapun, perjuangan harus diteruskan. Ingat tiada istilah putus asa. Yakinlah dengan Ketentuan ALLAH S.W.T. Ingat perjuangan kita ini perjuangan menegakkan syiar agama ALLAH. Perjuangan kita ini Perjuangan Fi' Sabilillah. ALLAHUAKBAR.

TERMENUNG : kita selalu risau dengan peperiksaan yang bakal menjelma, macam penulis katakan tadi kalau boleh nak kurung diri baca buku. Tetapi pernah tak kita risau tentang Ujian Allah yang lagi besar. Kiamat, Yaumul-akhir..hari penentuan. Pernah tak kita terfikir nak kurung diri kita dalam masjid atau surau untuk mempertingkat ibadah dan amalan kita.

Terfikir : Apa yang cuba nak disampaikan disini adalah, dalam kita mengharungi dunia yang serba mencabar ini, jangan kita lupa persiapkan diri kita untuk ukhrawi.Ingat dunia ini hanya persinggahan yang sementara, kumpul bekalan sebanyak yang mungkin. Dunia ini adalah saat untuk beramal bukan ganjaran. Akhirat kelak pula adalah saat untuk ganjaran bukan lagi untuk beramal.

Renung-renungkan dan selamat beramal.


Wallahua'lam

Wassalam.